Ciri kelima I’bad Ar-Rahman Al-Mu’minin sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan ayat ke-67 yang bermaksud :
“ Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian ”
Berpada-pada dalam berbelanja tidak kedekut dan tidak pula membazir sama ada di peringkat kecil-kecilan hinggalah ke peringkat yang melibatkan perbelanjaan kewangan yang lebih besar seperti perbelanjaan sesebuah organisasi, syarikat, jabatan, negara dan urusan yang seumpama dengannya adalah dituntut oleh agama.
Untuk menjadi hamba-Nya yang bergelar I’bad Ar-Rahman Al-Mu’minin seseorang itu juga hendaklah memiliki harta tidak kira banyak atau sikit asalkan harta yang dimilikinya itu datangnya dari sumber yang halal yang tidak bercanggah dengan batas syariat dan harta yang diredhai-Nya. Lantaran hasil yang diperolehi itu dianugerahkan sebagai sumber yang penuh dengan nur keberkatannya.
Bersederhana dan tidak pula membazir dalam tasarruf al-amwal adalah mengikut kedudukan dan taraf hidup kemampuan masing-masing asalkan dia tidak mengenepikan urusan perbelanjaan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya kerana pada harta itu ada hak-haknya yang perlu dilunas serta disalurkan mengikut kehendak agama Islam bukan mengikuti kehendak nafsu buta yang melihat keindahan dunia hanya seketika.
Kesederhanaan dalam berbelanja adalah alternatif yang paling baik yang dituntut agama daripada seseorang itu dibelenggu bebanan hutang piutang yang banyak dan tidak mustahil akhirnya membawa seseorang itu terjerumus ke dalam kelompok muflis. Umat Islam adalah dituntut untuk berbelanja ( infaq ) untuk diri dan keluarga serta menganalisa ‘ kemahuan /accesories ’ kita asalkan tiada unsur pembaziran dalam berbelanja, kita juga tidak disogok untuk berbelanja melebihi had kemampuan serta keperluan hidup dan pada masa yang sama kita juga tidak disuruh menjadi insan yang bergelar bakhil anak kedekut dan gelaran yang seumpama dengannya, akan tetapi yang dituntut agama adalah berbelanjalah dengan cara yang berhemah,bijak dan cukup untuk menampung keperluan diri masing-masing serta menunaikan perkara yang diwajibkan keatas diri kita.
Allah SWT berfirman didalam surah al-Isra’ ayat 29 yang bermaksud:
“ Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya (jangan kamu terlalu kikir dan jangan pula terlalu pemurah) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal ”.
Ayat di atas jelas membuka ufuk minda kita tentang apa ertinya kikir dan pemurah. Kalimah arab ‘ Tabzir ’ itu ialah membelanjakan harta pada jalan yang haram yang bercanggah dengan kehendak syara’ dan harta yang ada itu disalurkan pada jalan yang dimurkai Allah, manakala kalimah ‘ israf ’ pula membawa maksud membelanjakan harta ( yang berlebihan ) pada jalan yang halal atau jalan yang harus, kita juga ditegah dari melakukan perkara tersebut ( israf ) kerana pada harta yang berlebihan itu sebenarnya ada haknya ke atas orang-orang yang berhak dan harta yang lebih itu boleh menampung keperluan fakir miskin dan membantu rakan-rakan seagama yang tidak bernasib baik ditimpa musibah mudah-mudahan harta yang berlebihan itu tadi dapat menampung kos belanja dapur dan ubat-ubatan mereka dikala perlu. Lihatlah keindahan salah satu cabang akhlak Islam nikmatnya ukhuwwah islamiah , saling tolong menolong antara satu sama lain yang susah dibantu dan yang kaya tidak berjiwa hantu, kekayaan bumi indah tidak berlegar sesama mereka malah semuanya dapat merasai hasil bumi yang indah.
Kesederhanaan dalam berbelanja adalah merupakan tiang seri kepada prinsip asas ekonomi Islam. Pembaziran adalah salah satu perkara yang diselar al-Quran kerana apabila wujudnya satu pembaziran ianya akan melibatkan survival ummah itu tercalar dan berlakunya pembaziran harta sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“ Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan (ibnu sabil) dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros, sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syiatan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra’ ayat 26 & 27).
“ Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu dan bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai, dan masukkanlah daku dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang salih ” Amin..
Disediakan Oleh :
Mohd Khairul Hamiz Bin Mohd Hussin
Pen. Pengarah
Caw. Penyelidikkan ( Unit III )
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

